SIARAN AKHBAR
(UNTUK SIARAN SEGERA)
KHALID JAMLUS, NORSHAM YON ANTARA 8 LAGENDA SUKAN DIRAI ENCORP, MAJORITI SEMPENA AIDILFITRI
KOTA DAMANSARA, March 26 –Pelbagai cara dilakukan pelbagai pihak sama ada individu, syarikat dan kerajaan sepanjang Ramadan ini bagi mendapat keberkatan ketika menjalani ibadah puasa.
Encorp Berhad misalnya dengan kerjasama portal berita, Majoriti serta Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) bersama-sama meraikan legenda sukan negara sempena Aidilfitri.
Majlis iftar yang ringkas tapi penuh bermakna itu berlangsung di Dewan Sireh Junjung, Strand Mall, Kota Damansara di Petaling Jaya pada Selasa (25 Mac).
ENCORP turut mengumpulkan kakitangannya yang bersama-sama menyantuni anak-anak yatim Pusat Jagaan Kasih Nurul Hasanah, selain tazkirah yang disampaikan oleh penceramah terkenal, PU Rahmat.
Sebagai penghargaan kepada figura sukan, lapan bekas atlet legenda negara menerima sumbangan duit raya dan hamper sebagai tanda penghargaan kerana jasa mereka dalam bidang sukan, bagaimanapun dua daripadanya tidak dapat hadir kerana faktor yang tidak dapat dielakkan.
Mereka yang diraikan ialah legenda Khalid Jamlus, Kamarul Zaman Yusoff (bola sepak), Bahaman Mohd Nor (ragbi kebangsaan), Ahmad Amil Usin (bowling), Hasnee A. Rahman (berbasikal) dan Norsham Yon (olahraga). Begitupun, dua lagi atlet yang tidak dapat hadir adalah Mohd Raduan Emeari (olahraga para) dan Halimah Hassan (berbasikal).
Kehadiran mereka menambahkan lagi kemeriahan majlis dengan suasana yang penuh keinsafan dan kebersamaan.
Menurut Pengerusi ENCORP, Mohd Yusmadi Mohd Yusoff, menyatakan rasa bangga kerana dapat bekerjasama dengan Yakeb dan Majoriti untuk menjayakan program ini.
“Kerjasama ini melibatkan kelompok yang perlu kita bantu, terutama atlet-atlet yang banyak berjasa dan menginspirasi ramai,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan ENCORP bukan sahaja sebagai syarikat korporat tetapi sebagai entiti yang memainkan peranan dalam pembangunan masyarakat.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Majoriti yang mencetuskan idea untuk majlis tersebut.
“Kami mengambil kesempatan dalam bulan Ramadan ini untuk menghulurkan bantuan. Walaupun jumlah sumbangan tidak besar, ia tetap memberi impak kepada mereka yang memerlukan,” tambahnya.
Sementara itu, Pengerusi Yakeb, Datuk Ahmad Shapawi Ismail bersyukur dengan penganjuran majlis itu yang bukan sahaja menghargai bekas atlet tetapi juga memberikan keceriaan kepada anak-anak yatim.
“Syukur kita Yakeb dilibatkan dalam majlis hari ini yang ditaja oleh Encorp dan digerakkan oleh Majoriti.
“Sebenarnya ada 3,000 bekas atlet di bawah Yakeb, jadi kita amat berbesar hati dengan komitmen yang diberikan ENCORP kepada atlet negara,” katanya.
Selain itu, majlis ini turut membuka peluang kepada lebih banyak kolaborasi di masa hadapan.
Dalam pada itu, Yusmadi menegaskan bahawa ENCORP bersedia untuk terus bekerjasama dengan pihak Yakeb bagi menjayakan lebih banyak program kebajikan dan komuniti yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Malahan, katanya, ENCORP mahu terus komited dalam memperkukuh peranan sosialnya di samping menjalankan perniagaan dan usaha kolaboratif antara syarikat korporat, badan kebajikan dan media mampu memberi impak positif kepada masyarakat.
“Peranan ENCORP bukan sahaja membina perumahan dan bangunan tetapi juga pembinaan bangsa. Pembinaan yang memberi kesejahteraan kepada pemilik, keluarga ke arah kesejahteraan masyarakat sejajar dengan dasar kerajaan ke arah pembentukan Negara Madani berasaskan nilai-nilai manusiawi,” katanya.
Diharapkan program sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang untuk memastikan sokongan kepada golongan yang memerlukan tidak pernah berhenti.
– Tamat-
Mengenai Encorp Berhad (ENCORP)
Tersenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia (ENCORP/6076). Kumpulan ini kini terlibat dalam tiga perniagaan teras – pembangunan hartanah, pelaburan hartanah dan pembinaan. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.encorp.com.my