PRESS STATEMENT / SIARAN AKHBAR
(FOR IMMEDIATE RELEASE)
PERTANDINGAN SEPAK PENALTI MERIAHKAN ENCORP LAMANDA CHUPING
Ahad, 28 Julai 2024, Chuping– Pertandingan Sepak Penalti anjuran komuniti Felda Chuping berlangsung dengan meriah di Padang Lamanda Chuping. Acara ini telah berjaya mengumpulkan seramai hampir 200 orang penduduk sekitar yang hadir untuk menyertai pertandingan dan memberikan sokongan bagi kelangsungan acara.
Acara dimulakan dengan sesi pendaftaran peserta yang menyaksikan penyertaan sebanyak 32 buah pasukan dengan penglibatan seramai 160 pemain dari komuniti setempat meliputi pelbagai peringkat umur. Selain daripada pertandingan sepak penalti, program ini juga menampilkan beberapa gerai jualan makanan dan minuman dari usahawan kecil tempatan serta ruang pameran dari Encorp Berhad mempromosikan projek Lamanda Chuping kepada umum.
Program yang dianjurkan oleh komuniti Felda Chuping ini merupakan penglibatan kedua ENCORP bersama komuniti setempat. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ENCORP, Hazurin Harun, ENCORP sentiasa menyokong usaha memperkasa komuniti setempat dalam pelbagai bidang serta memberikan mereka ruang dan peluang untuk terus berkembang.
“Program ini adalah contoh tepat bagaimana inisiatif ini dapat memainkan peranan penting dalam memperkasa dan memajukan masyarakat setempat. ENCORP komited untuk terus mendukung aktiviti pembangunan sukan, seiring dengan objektif Pembangunan Komuniti FELDA, untuk menggalakkan penglibatan dalam pembangunan komuniti dan membudayakan gaya hidup sihat. Kami juga percaya bahawa di mana sahaja ENCORP beroperasi, kami bertekad untuk terus mengekalkan jalinan kerjasama yang erat dengan komuniti setempat menerusi program bersama,” ujarnya.
Para peserta dan penduduk tempatan yang hadir turut menzahirkan rasa gembira dan berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan untuk memupuk perpaduan dan kesejahteraan dalam kalangan masyarakat setempat. Acara diakhiri dengan sesi penyampaian hadiah Johan Pertandingan Sepak Penalti bernilai RM500, Naib Juara RM300 dan tempat Ketiga serta Keempat RM100 setiap pasukan.
Lamanda Chuping adalah pembangunan bersama antara ENCORP dan FELDA, dalam usaha untuk menyediakan rumah mampu milik khusus buat generasi baru FELDA. Pembangunan yang terdiri daripada 241 unit, termasuk 158 unit rumah mampu milik (RMM), 66 unit rumah kos sederhana (RKS) dan 17 lot komersial ini telah menerima Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) pada tahun ini dan proses penyerahan kunci (Milikan Kosong) telah mula dijalankan. Terletak di lokasi strategik, projek yang merupakan inisiatif bersama untuk meningkatkan taraf hidup generasi FELDA ini terletak bersebelahan dengan Felda Chuping dan Jalan Chuping yang menghubungkan Chuping ke Bandar Arau dan Kangar. Lamanda Chuping juga terletak berdekatan dengan institusi pengajian tinggi Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
Dengan segala kelebihan ini, Lamanda Chuping bukan sahaja menawarkan lokasi yang strategik dan kemudahan yang lengkap sekitarnya, tetapi juga memberikan peluang bagi generasi baru FELDA untuk memiliki hartanah di kawasan membangun.
Untuk maklumat lanjut mengenai Encorp Lamanda Chuping, hubungi bahagian pemasaran kami di 019-400 9868.
-Tamat-
Mengenai Encorp Berhad (ENCORP)
Tersenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia (ENCORP/6076). Kumpulan ini kini terlibat dalam tiga perniagaan teras – pembangunan hartanah, pelaburan hartanah dan pembinaan. Untuk maklumat lanjut, sila layari encorp.com.my.